Friday 24 February 2012

"YANG TIDAK BAIK TIDAK SEMESTINYA TIDAK BAIK" DAN "YANG BAIK TIDAK SEMESTINYA BAIK"

Assalam semua, hari ni Jenni ingin berkongsi satu cerita yang Jenni rasa rakan-rakan sekalian pernah membacanya sama ada di ruang akhbar ataupun lain-lain. Hari ni Jenni focus pada tajuk ‘yang tidak baik itu tidak semestinya tidak baik dan yang baik itu tidak semestinya baik’. Apabila di timpa musibah kita sering kali memandang dari sudut negatifnya. Jarang sekali kita memikirkan hikmah disebalik apa yang berlaku.


Ada sesetengah ibu bapa sering mengeluh apabila dikurniakan anak yang serba kekurangan daripada anak orang lain. Seharusnya, kekurangan yang dikurniakan oleh Allah jangan kita tangisi dan mengeluh kerana pasti ada kelebihan dan hikmah disebalik apa yang terjadi.
Masa kita sama-sama menyelami kisah yang sarat dengan pengajaran ini.


Pada zaman dahulu kala, di sebuah kampung terdapat seorang pak cik yang teramatlah miskin. Sudahlah miskin, isterinya pula sudah lama meninggal dunia. Hartanya cuma seorang anak lelaki dan seekor lembu betina.
Benarlah kata bidalan, Langit  tak selalunya cerah. Pada suatu hari, satu-satunya kuda kepunyaan  pak cik itu hilang entah kemana. Mendengar khabar berita itu, seluruh penduduk kampung mengucapkan takziah kepada pakcik. Tapi pakcik membalasnya dengan senyuman;

“Tidak semua yang tidak baik, itu tidak baik
Dan Tidak semua yang baik itu baik”

Disebabkan tidak memahami kata-kata pak cik  itu, orang kampung pun pulang ke rumah masing-masing.

Keesokkan harinya, kuda pak cik yang hilang itu telah pulang ke kandangnya. Yang lebih memeranjatkan lagi, sebanyak lima ekor kuda jantan mengikuti kuda betina pak cik itu. Semua penduduk kampung mengucapkan tahniah atas tuah yang menimpa pak cik. Namun pak cik itu, membalas;

“Tidak semua yang baik ,itu baik
Tidak semua yang tidak baik itu tak baik.”

Hari berganti hari, anak tunggal pak cik yang bernama Ali melatih kuda untuk dijinakkan. Namun malang tidak berbau, salah seekor kuda menendang kaki Ali sehingga menyebabkan kakinya cacat.  Semua penduduk melahirkan rasa simpati kepada pak cik. Namun, pak cik masih lagi  mengatakan.

“yang tidak baik, tidak semestinya tidak baik
Yang baik ,tidak semestinya baik”

Setelah beberapa bulan kemudian,kerajaan mengarahkan semua anak muda di kampung itu melaporkan diri untuk menjadi tentera. Kerahan tenaga telah dilakukan pada seluruh anak muda di kampung itu,oleh kerana Ali cacat, dia dikecualikan daripada menyertai peperangan. Ditakdirkan pada peperangan itu seluruh tentera kalah dan mati. Tinggallah Ali satu-satunya lelaki muda dikampung itu.


Di dalam kampung tersebut, terdapat seorang anak gadis daripada keturunan yang kaya yang sedang mencari calon suami. Oleh kerana hanya Ali merupakan satu-satunya lelaki dikampung itu, maka anak dara itu berkahwin dengan Ali yang cacat anggota. Alangkah bertuahnya pakcik itu kerana bermenantukan orang kaya.

Rakan-rakan sekalian, lihat sahaja kan? “tidak semua yang tidak baik itu, tidak baik” dan “tidak semua yang baik, itu baik”. Dari segi konteks ibu bapa yang mungkin mempunyai anak yang serba kekurangan janganlah menangisi kekurangan anak anda kerana disebalik kekurangan itu pasti ada kelebihan dan hikmah disebalik apa yang terjadi. Berdasarkan cerita diatas pada permulaannya, rakan-rakan semua pasti melahirkan rasa simpati kepada pemuda yang cacat itu, tapi lihat di pengakhiran ceritanya, oleh kerana dia cacat, pemuda itu tidak perlu menyertai peperangan dan tidak pula menjadi mangsa korban dalam peperangan. Malah,pak cik itu yang dulu hidupnya dibelenggu dengan masalah kemiskinan kini sudah bermenantukan orang kaya.


Dalam konteks lain pula, janganlah kita selalu merendahkan diri kita, memang rendah diri itu dituntut dalam agama tapi janganlah sehinggakan kita seolah-olah tidak mensyukuri pemberian Allah. Sebagai contoh “ kenapala aku ni gemuk dan tak cantik, lihat saja pada si X tu, cantik ramai sangat peminat” :(. Ingatlah rakan-rakan sekalian, ujian Allah itu boleh jadi dalam bentuk kesenangan dan kesusahan. Apabila susah kita akan lebih ingat Allah berbanding kita senang. Barangkali bila kita cantik, timbul ujub, riak dan mendedahkan aurat dan boleh jadi apabila kita kurang cantik timbul pula perasaan iri hati, tidak bersyukur malah ada juga yang melakukan pembedahan plastik semata-mata untuk kelihatan cantik. Nauzubillah, moga kita tidak tergolong dalam golongan seperti yang telah saya sebutkan tadi. Sentiasalah mensyukuri apa pun pemberian Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.


Ambillah pengajaran disebalik cerita ini. :)


p/s- maaf ya rakan-rakan andai gaya penulisan Jenni tidak berapa baik. Jenni tidak mampu nak salin bulat-bulat apa yang Jenni dengar (menerusi IKIM.FM-SLOT MOTIVASI PAGI) sebab Jenni memang bukan orang yang boleh menyalin dengan laju tapi Jenni ambil isi-isi penting dan Jenni olah dengan gaya tersendiri. Segala teguran dan kritikan membina Jenni sangat alu-alukan untuk pembaikan pada masa hadapan. Jenni masih baru lagi dalam dunia blogging ni, dan Jenni akui penulisan Jenni masih lagi perlukan kemajuan. Semoga kita dapat sama-sama berkongsi perkara-perkara yang baik.


InsyaAllah

Terima kasih :)


Jenni :)











No comments:

Post a Comment